Dewasa ini, dunia semakin maju dengan dilengkapi teknologi moden yang serba canggih.
Namun, adakah akhlak manusia yang mendiami dunia yang dipinjamkan Allah ini setinggi dan selari dengan kemodenan yang dikecapi?
Kelekaan mengejar kemewahan duniawi telah menyebabkan manusia kadang-kadang lalai untuk mengimbangi antara ilmu dunia dan akhirat maka timbullah pelbagai masalah sosial.
Sebagai sebuah stesen televisyen yang prihatin terhadap penularan wabak sosial yang tidak bersempadan itu, TV9 akan tampil dengan sebuah program wawancara yang berkonsepkan keislaman iaitu Halaqah musim baru yang bertemakan Sentuhan Qalbu.
Rancangan yang mendidik jiwa rohani itu akan merungkai segala persoalan yang menyentuh tentang kehidupan manusia sebagai khalifah di muka bumi Allah ini.
Ketua Pengurusan Penjenamaan Kumpulan TV9, Rozaina Zainul Abidin berkata, Halaqah pada musim kali ini menampilkan kelainan apabila bekerjasama dengan ESQ Leadership Centre untuk mengetengahkan beberapa topik menarik.
“Apa yang pasti, topik yang diwawancara bersama ahli panel tentunya memberi kesan yang mendalam kepada penonton.
“Kali ini, hos, ahli panel dan penonton tidak kira di studio atau di rumah akan lalui satu perjalanan kerohanian yang impaknya cukup kuat sehingga mampu menitiskan air mata,” katanya yang ditemui pada rakaman rancangan itu di Glenmarie, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Ditambah dengan bantuan kesan audio dan visual di samping penceritaan yang menarik, Halaqah: Sentuhan Qalbu mampu menusuk kalbu seterusnya meruntun naluri keegoan manusia untuk mendekati penciptanya, Allah SWT.
Halaqah: Sentuhan Qalbu yang dihoskan oleh penerbitnya sendiri, Ahmad Noor Sulaiman akan disiarkan sebanyak 13 episod bermula 15 Jun ini pada pukul 10 malam setiap Selasa.
Sementara itu, Ahmad Noor memberitahu, topik-topik yang akan dibentangkan akan menyentuh tentang kecerdasan intelektual, kecerdasan emosi dan pencerahan kerohanian supaya bersyukur dengan pemberian Allah SWT.
“Diharap, dengan topik-topik yang akan dikupas bersama barisan ahli panel yang cukup berpengalaman ini, ia mampu merubah kehidupan seseorang kepada nilai-nilai yang lebih positif,” ujar beliau.
Sehubungan itu, pihak penerbitan Halaqah: Sentuhan Qalbu mengundang orang ramai untuk menjadi tetamu di studio sekali gus melibatkan diri dalam sesi soal jawab bersama ahli panel seperti Datuk Nooh Gadot, Tan Sri Dr. Harussani, Ustaz Badli Shah Alaudin, Dr. Rubiah K. Hamzah, Dr. Amnah Bohari dan ramai lagi.
Sesi rakaman yang bermula 24 Mei lalu akan berakhir pada 14 Jun ini bertempat di Studio 1 ntv7, Glenmarie, Shah Alam.
Tambah Ahmad Noor, sesi rakaman untuk episod akhir musim ini akan mengundang pengasas ESQ Leadership Centre, Ary Ginanjar Agustian sebagai ahli panel untuk mengupas topik berjudul ‘Ketika Pulang’.
Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam
2 days ago
0 comments:
Post a Comment