Menjelang pagi 12 Rabiul-awal Tahun 11 HIjrah, di rumah Siti Aisyah, sakit Rasulullah datang kembali. Rasulullah bersandar kepada Siti Aisyah. Rasulullah tidak dapat bercakap kerana terlalu sakit.
Pada masa itu, Abd Rahman bin Abu Bakar(adik beradik Siti Aisyah) sedang bersugi. Rasulullah memandang Abd Rahman, dan Siti Aisyah merasakan beliau mahu bersugi. Siti Aisyah minta izin dari Abd Rahman, menyiapkan bahagian kayu sugi yang belum digunakan dan memberikan kepada Rasulullah untuk beliau bersugi.
Siti Aisyah berkata “Aku melihat Muhammad bersuji dalam keadaan yang sangat berat. Tidak pernah sepanjang hidup aku melihat seperti itu”
Sakit Rasulullah semakin kuat dan peluh mencurah-curah dari kepalanya. Siti Aisyah menyapu muka beliau dengan air untuk meringankannya. Rasulullah berkata “ Wahai Aisyah, sesungguhnya mati itu mempunyai sakarat(kesakitannya)”
Rasulullah seperti mengulang-ulang satu kata-kata yang seakan diberi pilihan lagi untuk kali terakhir. Rasulullah berkata “Bahkan teman sejati di Syurga, bahkan teman sejati di Syurga”
Siti Aisyah berkata “Ketika beliau mengulang-ulang kata-kata itu, kepalanya terlentok ke bahuku dan pandangannya mendongak ke langit. Roh Muhammad sudah keluar daripada jasadnya untuk bertemu dengan Allah.
Aku meletakkan kepala Muhammad ke bantal, lalu aku menangis. Semua ahli keluarga Muhammad yang perempuan juga menangis. Tangisan kami dapat didengari hingga luar rumah”
Berita wafat Rasulullah tersebar. Ada dikalangan sahabat tidak percaya. Umar minta izin masuk dan dilihatnya Rasulullah.
Umar berkata “Pesuruh Allah belum wafat, tetapi tidak sedar diri sepertimana Nabi Musa tidak sedar apabila Allah melihatkan diriNya kepada Nabi Musa. Pesuruh Allah akan kembali dan aku akan memancung sesiapa yang mengatakan pesuruh Allah sudah wafat”
Abu Bakar dipanggil untuk meredakan keadaan. Abu Bakar melihat keadaan sekitar yang agak cemas dan seakan hilang pertimbangan. Abu Bakar melihat jasad Rasulullah ditempat tidurnya dan sudah diselimuti.
Abu Bakar mengucup dahi Muhammad sambil berkata “Kesejahteraan untuk kamu ketika kamu hidup dan ketika kamu mati, wahai pesuruh Allah. Adapun kematian yang Allah sudah tetapkan kepadamu sudah kamu rasai dan kamu tidak akan mati lagi selepas ini”
Selepas itu Abu Bakar mengucup dahi Rasulullah sekali lagi dan ditutup kembali jasadnya.
Abu Bakar ke mimbar masjid dan berkata “Bertenanglah wahai Umar”.
Umar masih memberikan ucapannya dan tidak mengendahkan. Abu Bakar mengulang lagi. Kemudian, Abu Bakar naik ke atas mimbar dan mula bercakap. Umar berhenti berucap dan turun dari minbar.
Abu Bakar berkata “Barangsiapa menyembah Muhammad, Muhammad sudah mati. Barangsiapa menyembah Allah, Allah itu hidup dan tidak mati”.
Kemudian dibacakan ayat 144 Surah Ali Imran. Umar yang tadi berdiri, terus terduduk. Umar berkata “Adakah ayat ini ada di dalam Al-Quran”. Beliau yang hafaz Quran dan gagah, hilang pertimbangan.
Umar berpaling kepada sahabat dan berkata “Wahai sahabatku, Muhammad sudah meninggal dunia”. Kesedihan menguasai semua. Semua menangis. Sebahagian sahabat menyatakan mereka mencari tempat yang dapat menangis sekuat hati kerana beratnya ujian ini.
Sewaktu masuk waktu Zuhur, Bilal mahu azan tetapi kerana terlalu sedih, dia tidak azan. Bilal berkata “Demi Allah, aku tidak akan azan lagi selepas kewafatan pesuruh Allah”
13 Rabiulawal, hari kedua RAsulullah wafat, jasad beliau disemadikan ditampat beliau wafat (rumah Siti Aisyah).
Selepas sahabat Berjaya membebaskan Syam & Baitul Maqdis dari ROME pada zaman Umar, Umar datang sendiri ke Palestin untuk menerima kunci Baitulmaqdis. Umar memanggil semua tentera berkumpul di Bukit Golan.
Ini adalah pertemuan bersejarah selepas Rasulullah wafat kerana sahabat berkumpul setelah beberapa tahun tidak bertemu kerana sibuk berjihad di medan masing-masing. Untuk itu, Umar meminta Bilal azan pada salah satu waktu solat.
Bilal tidak pernah melaungkan azan selepas Rasulullah wafat. Atas permintaan Umar dan sahabat, ini pertama kali beliau azan selepas Rasulullah wafat. Dia tidak dapat menyelesaikan azannya. Bilal menangis dan para sahabat turut menangis.
Mereka teringat kembali Rasulullah dan perjuangannya yang agung dan suci. Islam, imam, kasih sayang, akhlak mulia, kehidupan mulia, pengorbanan dan penderitaan yang Rasulullah tanggung menjelma dalam ingatan mereka, seolah-olah mereka baru berpisah dengan Rasulullah.
Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam
1 day ago
0 comments:
Post a Comment