Semoga Allah mengurniakan kepada kita keyakinan mengenai batapa mahalnya nikmat hidayah dan betapa tidak ternilainya nikmat iman. Bahkan tiada yang senilai dengannya daripada seluruh isi dunia ini. Hanya dengan berbekal keyakinan awal ini, kita dapat memiliki peribadi Muslim yang sejati. Insya-Allah.
Hidayah bermaksud petunjuk jalan. Hidayah adalah peta penunjuk ke jalan yang benar dan hanya dianugerahkan kepada hamba-hamba yang dikehendaki Allah. Allah adalah zat yang maha memberi petunjuk. Ini bersesuaian dengan salah satu nama indahnya iaitu al-Hadi, bermaksud yang membimbing ke jalan yang benar. Allah memberikan taufik kepada hamba-hamba-Nya yang taat lagi soleh dan membimbing mereka ke jalan yang benar.
Hidayah adalah hak mutlak Allah, sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah di dalam Quran surah al-Qasas ayat 56 yang bermaksud, "Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada siapa yang kamu kasihi, tetapi Allah yang memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah lebih mengetahui orang yang mahu menerima petunjuk."
Oleh kerana hidayah itu hak mutlak Allah sahaja, alangkah beruntungnya mereka yang dikurniakan hidayah oleh Allah. Fitrah sabagai manusia, kita cenderung menjaga dengan bersungguh-sungguh sesuatu yang dianggap berharga kepada kita. Sebaliknya juga, sesuatu yang remeh dibiarkan begitu sahaja. Semakin bernilai sesuatu, semakin bersungguh-sungguh pula kita memeliharanya.
Dengan meyakini hidayah adalah anugerah agung yang tidak ternilai, sudah semestinya kita bersungguh-sungguh menjaganya dan mengambil berat berkenaannya. Orang yang benar-benar menjaga hidayah, yakin perjalanan hidupnya di dunia ini belum tentu selamat sampai ke muara kebahagiaan akhirat, sekiranya tidak berbekalkan hidayah dan taufik daripada Allah. Keyakinannya ini yang perlu dijiwai dan terus menyerapi seluruh gerak tindak-tanduk kita dalam menjalani hidup sehariannya.
Dalam mencari kenikmatan tetap meletakkan dirinya dalam kerangka batasan keredaan Allah dan mematuhi perintah dan larangan Allah. Ini supaya hidayah tidak hilang darinya. Walau bagaimana bersungguhnya dia mencari wang, namun dia sentiasa beringat supaya nikmat hidayah dan taufik tidak menjadi korban. Berpeluh-peluh dia menuntut ilmu, namun dia sentiasa memastikan dirinya sentiasa berada dalam suluhan hidayah dan taufik-Nya. Sebaik-baiknya, usaha mencari pendapatan, menuntut ilmu dan semuanya, semakin mendekatkan dirinya dengan sumber hidayah iaitu Allah.
Begitulah sikap orang yang bersungguh-sungguh memelihara hidayah. Diharapkan kita juga begitu. Jangan lupa jaga diri, jaga hati, jaga iman dan jaga Akhlak mu.....
Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam
2 days ago
0 comments:
Post a Comment